Atlet taekwondo terima biasiswa YPC bebas pilih kolej

Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) sedang mengenal pasti kolej atau universiti di seluruh negara bagi menjalin kerjasama untuk menaja pengajian atlet Taekwondo Malaysia di bawah program biasiswa YPC.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, atlet taekwondo yang layak di bawah program biasiswa itu boleh memilih mana-mana kolej atau universiti untuk mereka melanjutkan pengajian dan tidak semestinya di YPC atau tertumpu di sekitar Lembah Klang.
“Atlet Taekwondo Malaysia yang layak mengikut kriteria ditetapkan boleh menimbang hasrat mereka memohon biasiswa berjumlah RM600,000 sehingga 31 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Seminar Jurulatih dan Penilai Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) kedua yang turut dihadiri Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia, Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib di YPC Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seramai 172 peserta menyertai seminar sehari itu yang bertujuan memberi penilaian serta pengiktirafan kepada jurulatih dan penilai sukan taekwondo di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
YPC turut menawarkan biasiswa 50 peratus daripada yuran pengajian untuk 15 atlet Taekwondo Malaysia peringkat negeri yang layak.
Sementara itu, Mohd. Nazifuddin berkata, YPC satu-satunya institusi pengajian tinggi yang mengambil inisiatif menawarkan kemudahan kewangan dalam bentuk tajaan kepada atlet Taekwondo Malaysia yang berhasrat melanjutkan pelajaran.
YPC membuktikan bahawa untuk menuntut ilmu ia bukan lagi halangan kepada mana-mana individu khususnya mereka yang menghadapi masalah kewangan.
“Sekarang cuma tinggal minat dan komitmen yang berterusan untuk mereka yang mahu melangkah lebih jauh lagi dalam bidang pendidikan,” katanya.
Sebarang pertanyaan berkaitan program pengajian dan tawaran biasiswa boleh diajukan kepada e-mel [email protected]
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/atlet-taekwondo-terima-biasiswa-ypc-bebas-pilih-kolej-1.440808#ixzz4aZ569Nq8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments